08 September 2007

Panduan Solat Gerhana


Hukum solat sunat gerhana
Ulama telah bersepakat tentang hukum sunat muakkad bagi melaksanakan solat sunat gerhana, hukum sunatnya sama dengan hukum solat dua hari raya, jika kita boleh memasukkan kedalam kalender hijri setiap tahun dengan tarikh yang berkaitan dengan permulaan dua hari raya samaada secara rukyah atau hisab, ia sebagai persediaan untuk meraikan dua hari tersebut dengan solat sunat sebagai tanda syukur dan gembira kita.
Mengapa kita tidak memasukkan tarikh akan berlakunya gerhana dalam tahun yang sama sebagai persediaan untuk melakukan tuntutan yang sama dengan penuh rasa hina dan rendah diri dihadapan pemilik kita, sebagai menyeimbangi dari rasa gembira yang kita rasakan setiap tahun, seperti solat sunat dua hari raya yang mengajak semua lapisan samaada lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau orang tua untuk sama-sama melaksanakannya, begitu juga dengan solat sunat gerhana.
Namun fenomena gerhana tidak boleh disamakan dengan kita meraikan dua hari raya, solat sunat dua hari raya boleh dilakukan dimana sahaja tempat kita berada dengan syarat-syarat yang telah disepakati oleh ulama, tetapi solat sunat gerhana hanya dilakukan ditempat yang menerima nampaknya gerhana, jika satu tempat seperti di afrika utara ini yang sudah mengetahui dengan ramalan akan berlakunya gerhana matahari separuh pada 29 safar nanti, tetapi gerhana tidak berlaku disini, maka tidaklah disunatkan untuk melakukan solat gehana.
Para ulama dalam menghukumkan tentang solat sunat gerhana telah mangambil dalil dari surah Fussilat ayat 37,



لاَ تَسْجُدُواْ لِلشَّمْسِ وَلاَ لِلْقَمَرِ وَٱسْجُدُواْ لِلَّهِ ٱلَّذِي خَلَقَهُنَّ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
maksudnya ” janganlah kamu sujud kepada matahari dan jangan pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah”
juga dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim, maksudnya “Sesungguhnya kedua-dua matahari dan bulan adalah daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, tidak berlaku gerhana kerana kematian atau kerana hidupnya seseorang, apabila kalian menyaksikan fenomena gerhana tersebut maka solatlah dan berdoalah…”
Menurut imam Ibrahim al-Baijuri antara hikmah berlakunya fenomena gerhana ini ialah sebagai peringatan kepada golongan penyembah matahari dan bulan bahawa kedua-dua matahari dan bulan adalah makhluq yang tunduk dan patuh pada kekuasaan Allah, sekiranya keduanya adalah tuhan sebagaimana dakwaan mereka nescaya akan menjaga dirinya dari kekurangan, lalu mengapakah cahayanya boleh hilang seketika.

Bagaimana melaksanakan solat sunat gerhana
Diatas saya telah menyatakan tentang hukum solat gerhana, beserta asal dalil datang hukumnya, pada perenggan ini saya berpindah kepada tatacara melaksanakannya yang sememangnya berbeza dengan solat sunat yang lain, sebelum itu sebagai pembuka kata bagi tatacara, dan tanbih sebelum memulakan solat gerhana seperti solat sunat dua hari raya kita disunatkan mandi terlebih dahulu tetapi tidak disunatkan memotong kuku atau bercukur kerana waktu yang sempit, disunatkan juga memakai pakaian yang biasa (pakaian harian), bukan pakaian yang cantik-cantik, seperti solat sunat istisqo.
Waktu disunatkan solat sunat gerhana ialah ketika mulanya gerhana, berakhir dengan berlalunya gerhana dan keadaan menjadi seperti sedia kala, tidak diharuskan menambah ruku’ menjadi tiga bagi satu rakaat sekalipun gerhana berlaku panjang, atau memendikkan ruku’ menjadi satu bagi satu rakaat sekalipun gerhana sudah berlalu, sekiranya gerhana berlalu dan hilang sedang kita masih dalam keadaan bersolat maka dikira sah, jika gerhana berlaku pada waktu yang ditegah padanya kita bersembahyang, maka dengan sebab gerhana kita disunatkan bersembahyang dan makruh pula meninggalkannya jika kita melihat fenomena gerhana, ini adalah disisi mazhab kita, tidak disunatkan azan sebelumnya, hanya memadai dengan iqomus solah.
Dimulakan dengan Takbiratul ihram beserta niat solat sunat gerhana, diikuti dengan doa iftitah, ta’awwuz, membaca al-Fatihah dan membaca surah kemudian ruku’ kali pertama dan bangun kembali kemudian membaca al-Fatihah kembali dan membaca surah, kemudian ruku’ kali kedua dan bangun kembali dan terus sujud seperti solat biasa, kemudian ulang seperti itu pada rakaat yang kedua, begitulah yang dimaksudkan dengan solat gerhana itu dua rakaat, setiap rakaat dua kali bangun dan dua kali ruku‘.
Bagi solat sunat gerhana ini ada dua cara melakukannya, pertama dengan cara yang sempurna kedua dengan cara yang ringkas, cara yang sempurna adalah dengan membaca surah al-baqarah atau yang sekadarnya pada bangun yang pertama, membaca surah ali-Imran atau yang sekadarnya pada bangun yang kedua, membaca surah an-Nisa atau yang sekadarnya pada bangun yang ketiga, seterusnya membaca surah al-Maidah atau yang sekadarnya pada bangun yang keempat, lihat ! panjangkan, saya sendiri belum tentu mampu, lakukanlah mengikut kemampuan, walaupun bukan dengan cara yang paling sempurna, cara ringkasnya, dengan membaca apa-apa surah yang disukai seperti biasa pada keempat-empat bangun itu, atau ikut sahaja berjemaah.
Dalam solat sunat gerhana kita juga disunatkan memanjangkan ruku’ pada keempat-empat kalinya dengan bertasbih kadar panjang 100 ayat surah al-Baqarah pada ruku’ pertama, bertasbih kadar panjang 80 ayat al-Baqarah pada ruku’ bertasbih kadar panjang 70 ayat al-Baqarah pada ruku’ ketiga, bertasbih kadar panjang 50 ayat al-Baqarah pada ruku’ keempat, ini cara yang paling sempurna, jika mahu meringkaskan buat sahaja seperti solat sunat biasa.
Jika solat sunat ini dilakukan secara berjemaah lelaki maka selepas selesai solat bangkitlah imam atau naibnya untuk berkhutbah seperti mana dilakukan pada sembahyang dua hari raya dengan mengikut semua rukun-rukun khutbah, cuma bezanya tidak dimulakan dengan takbir, jika sembahyang bersendirian tidak disyariatkan berkhutbah, jika semua jamaah adalah perempuan tidaklah disyariatkan khutbat, tetapi jika ada dikalangan mereka yang mahu bangun memberi peringatan, itu tidak mengapa, ia dipanggil wa’izhoh bukan khutbah.
Rujukan
1) al-Iqna’ oleh khotib as-Syirbini2) Hasyiatan al-Qolyubi wa Umairoh3) Hasyiah Baijuri bagi syarah fathul Qorib4) al-Kassyaf fi mustolahatil funun, oleh at-tahanawi al-hanafi

No comments: