03 September 2007

Wawasan Dakwah


Assalamualaikum sahabat- sahabiah tercinta...

TEORI DAKWAH


Mari kita tanya diri kita masing-masing yang menyangkut pangkat daei di dada.


Apakah tujuan utama dakwah kita? apa matlamatnya? kemana kita naka bawa mad'u kita? Apa yang kita nak ubah pada mad'u kita?


Perbincangan kita pada kali ini berkisar berkenaan prinsip asas dakwah.


Abu al- a'la al maududi didalam bukunya yang bertajuk asas- asas islam menyatakan bahawa pada asasnya semua makhluk yang diciptakan oleh Allah adalah Muslim pada fitrahnya. Hal ini kerana berdasarkan kepada pengertian Islam itu sendiri iaitu tunduk patuh, menyerah diri kepada Allah dalam erti kata lain bertaqwa kepadaNYA dengan sebenar- benar taqwa iaitu taat kepada aturan yang telah ditetapkan Allah kepadanya. Tetapi akhirnya manusia mengotori fitrahnya dengan pelbagai kekotoran. Mengotorkan fitrah aqidahnya dengan syirik, fitrah syariatnya dengan kekufuran, fitrah tasaufnya dengan penyelewengan dan sebagainya.


Sesungguhnya Islamlah agama yang menjadi satu- satunya agama fitrah yang dianuti oleh seluruh nabi- nabi dan rasul- rasul. Kembali kepada Islam beerti kembali kepada fitrah. Islam menyediakan bagaimana kita beraqidah secara fitrah, berakhlak secara fitrah dan menjalani kehidupan secara fitrah. Dan sesungguhnya kita hadir ke dunia ini dalam keadaan fitrah dan Allah tidak akan menerima kepulangan kita melainkan dengan keadaan fitrah jua. Itulah maksud firman Allah; wahai orang- orang yang beriman bertaqwalah kamu dengan sebenar- benar taqwa dan jangan sesekali kamu kembali kepada Allah (mati) melainkan dalam keadaan fitrah (Islam).


Fitrah yang suci bersih ini akan terpelihara andai kita dapat mengenali kekotoran- kekotoran yang boleh mencemarkannya. Di sinilah fungsi ilmu, yang menerangkan mana yang halal, mana yang makruh dan mana yang haram. Benda yang haram, makruh dan syubhah inilah yang berpotensi mengotorkan fitrah kita. Agen- agennya pula adalah nafsu yang tersembunyi dalam diri, hasutan syaitan dan di bantu oleh musuh- musuh yang berupa manusia yang melampaui batas yang di gelar thaghut. Mana mungkin orang yang jahil dapat menilai mana yang baik dan mana yang buruk dengan sebenarnya. Bahkan segala pertimbangan yang dibuat hanyalah hasil daripada dorongan hawa nafsu dan hasutan syaitan dan manusia syaitan semata.


Oleh itu, andai diri kita telah melakukan maksiat, sebenarnya kita telah mengotorkan fitrah kita. sebagaimana maksud hadith setiap kali kita melakukan dosa maka tertitiklah satu titik hitam pada kalbu kita.


Maka jelaslah pada kita, bahawa tujuan dakwah kita kepada diri adalah untuk membersihkan fitrah kita daripada kekotoran dosa. Dakwah kepada manusia bertujuan mengembalikan mereka kepada fitrah. Kembali kepada fitrah beerti kembali beramal dengan kesyumulan fitrah Islam.


Mana mungkin kita membersih sesuatu kotoran dalam takungan yang kotor. Oleh itu, langkah pertama bagi membersihkan fitrah kita adalah dengan samaada;


1. Membawa diri kita/manusia kedalam suasana yang baik( biah solehah). (hadir kemajlis- majlis tazkirah, usrah dsb) atau,


2. Membawa suasana yang baik (biah solehah) berada di sekitar kita/ manusia (berada dalam jemaah Islam yang mengamalkan agama secara syumul, mewujudkan biah solehah dsb).


Dalam melaksanakan 2 perkara asas perubahan inilah kita akan berhadapan dengan musuh- musuh yang telah bersumpah dihadapan Allah untuk menghalang kita.. insyaAllah kita akan bincangkan halangan- halangan dalam berdakwah pada sesi akan datang


Wallahua'lam.


No comments: