07 September 2007

Aqidah teras Amar Maaruf Nahi Mungkar



Definisi:
Aqidah: Pada bahasa bererti perjanjian/ ikatan. Pada istilahnya pula aqidah adalah suatu ikatan yang mengikat diri seseorang, pemikiran seseorang, hati seseorang dengan satu keyakinan dan dengan itu kehidupannya menjadi kehidupan yang terarah dan terpimpin[1]

Menyeru kepada kebaikan, amar maaruf dan nahi mungkar:
Amar: perintah/ arahan orang berpengaruh kepada orang yang lebih bawah.
Maaruf : perkara yang baik
[2]/ kebajikan[3]
Nahi : Melarang/ menyekat
Mungkar: keingkaran/ penderhakaan.


Kewajipan dan tujuan amar maaruf nahi mungkar
Firman Allah dalam surah Al- Imran ayat 104 yang bermaksud: “ Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh melakukan kema’rufan dan melarang melakukan kemungkaran dan merekalah orang- prang yang beruntung”. Ayat ini menjelaskan bahawa perlu ada suatu kelompok yang berkuasa dan dipatuhi yang semua unitnya terikat dengan tali Allah (mempunyai kefahaman dan pandangan yang sama terhadap kewujudan dan kehidupan, terhadap nilai- nilai dan amalan, terhadap peristiwa- peristiwa dan menghakimkan apa yang berlaku dalam kehidupan mereka dengan peraturan Allah) dan dengan tali persaudaraan kerana Allah yang untuk mewujudkan sistem hidup Allah dalam kehidupan manusia.
Pengwujudan sistem ini memerlukan kepada dakwah kepada kebaikan dan dari dakwah inilah orang ramai dapat memahami hakikat sistem ini. Oleh itu, agama Allah di muka bumi ini bukanlah semata- mata berupa nasihat, tunjuk ajar dan penerangan sahaja. Ini adalah sebahagian darinya, sebahagian yang lain pula ialah menjalankan kuasa menyuruh dan melarang untuk menegakkan kema’rufan, menolak kemungkaran dari kehidupan manusia, memelihara tradisi kelompok terpilih (jemaah mukminin) dari golongan dan pandangan- pandangan yang berkepentingan duniawi.
Oleh sebab itulah dakwah kepada kebaikan dan menyuruh kepada kema’rufan dan melarang kemungkaran itu merupakan tugas yang bukan senang dan mudah apabila kita melihat kepada tabiatnya dan kepada pertentangannya dengan nafsu- nafsu keinginan manusia dan dengan kepentingan- kepentingan setengah- setengah mereka dan dengan keangkuhan setengah- setengah yang lain.

Wujudnya ‘kelompok mukminin’ ini menyediakan suasana yang kondusif yang memastikan sistem Ilahi dapat bernafas dan menjelmakan dirinya dalam bentuk yang wujud di alam realiti. Suasana yang soleh ini membentuk unit- unitnya yang teruja kepada kebaikan sensitif kepada kemungkaran[4]. Suasana inilah yang cukup digeruni dan disedari oleh musuh- musuh Islam. Mereka merencanakan segenap helah dan tipu daya untuk merosakkan keimanan dan ukhuwah yang terbina. Kerana inilah kekuatan kita yang nyata.

Rujukan:
[1] Aqidah & Perjuangan, Hj Fadzil Mohd Nor.
[2] Kewajipan gerakerja dalam jamaah Islam, Dr. Abdullah Azzam.
[3] Dasar- dasar ilmu dakwah, Dr. Abdul Karim Zaidan
[4] Tafsir Fi Zilalil Quran (jilid 2), Syed Qutb.

No comments: