17 March 2008

Monolog hamba...

Wahai diriku, mengertilah…

Diriku,
Dalam rancak kau menyiram taman hati insan lain,
kau terlupa membaja taman hatimu sendiri,
agar sentiasa segar dalam hubungan dengan Allah,
merasa terpikul amanah ad-deen ini,
bukan kerana kau berjemaah,
namun kerana engkau dibawah perintahnya.

Diriku,
Seringkah kau mencari jalan,
agar hatimu sentiasa lembut halus sentuhannya,
agar sentiasa sedar akan keagunganNya,
insafi kekerdilan, kelemahan , kealpaan dan kesilapan dirimu...?
Ketahuilah diriku,
hatimu keras, khusyu’mu kurang,
syukur dan redhamu tidak banyak kau hadiahkan kepadaNya,
terlalu banyak kurang dan salahmu...

Diriku,
Tunaikanlah solatmu dalam khusyu’ dan tenang,
muhasabahlah dirimu kala sunyi,
selamilah kalam- kalam al-quran yang kau perjuangkan,
padanya ada bekalan
untuk kau terus menongkah bahtera perjuangan ini.

Diriku,
Pada nawafil dan amalan sunat,
ada jalan yang hampir untukmu berkasih sayang dengan tuhanmu,
pada qiamullail di keheningan malam
bersama bisikan doa dan munajatmu,
diiringi esak air mata keinsafan dan keikhlasanmu,
kau akan temui kemanisan taqarrub di bawah duli kebesaranNya
di situ ada bekalnya...
lazimilah awal harimu dengan Al- Ma’thurat,
pasti kau akan mengenali siapa dirimu sebagai daie.

Diriku,
pada tawadhu’ pada ukhuwah fillah, pada infak fi sabilillah,
pada uzlah muhasabah diri, pada zikir dan selawat,
ada ketenangan dan kekuatanmu.

Diriku,
Ketahuilah bahawa hanya hati yang hidup sahaja
yang bisa memberi nafas kepada hati yang mati,
hati yang turut sama mati
tidak mungkin menyembuhkan hati yang sakit
apatah lagi menghidupkan hati yang mati...

Diriku,
Amanahlah kau di hadapan manusia
kerana kedaulatan Tuhanmu...
namun rasailah kekerdilan dirimu
di hadapan kudrat dan iradatNya..

Wahai diriku mengertilah....

Nukilan HE- june 07

No comments: